Dari Meja Rektor

E-mail Print PDF

Syukur kepada Allah SWT kerana dengan izin-Nya laman web Universiti Teknologi MARA (Perak) kampus Tapah berjaya dikemas kini untuk dilayari pengguna. Setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam menghasilkan laman web ini. Diharapkan laman web ini dapat berfungsi sebagai sumber maklumat yang efektif untuk menjana kecemerlangan siswa siswi di Universiti Teknologi MARA (Perak).

Perkembangan positif yang berlaku secara berterusan di kampus ini telah membawa banyak perubahan kearah menjadikan Universiti Teknologi MARA (Perak) sebuah institusi pengajian tinggi yang diiktiraf. Saya percaya perkembangan-perkembangan inilah yang membantu dan merangsang UiTM dalam melahirkan graduan yang standing dengan universiti-universiti lain, bukan sahaja di dalam negara malahan juga di luar negara. Sesungguhnya, kecemerlangan akademik semata-mata tidak dapat menjamin kekentalan dan ketahanan diri graduan untuk berdepan dengan cabaran global masa kini. Kemahiran insaniah atau soft skills, seperti kemahiran berkomunikasi, keusahawanan dan kepimpinan amat diperlukan sebagai pelengkap kepada kecemerlangan yang hakiki.

Saya berharap laman web Universiti Teknologi MARA (Perak) ini dapat dimanfaatkan semaksima mungkin oleh siswa siswi untuk memastikan mereka lahir sebagai graduan yang berdaya saing tinggi, global dan beretika. Saya juga berharap agar setiap warga universiti mengambil manfaat daripada laman web yang dibangunkan ini untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran diri demi kecemerlangan Universiti Teknologi MARA (Perak ). Saya doakan agar segala usaha yang dicurahkan ke arah mengangkat Universiti Teknologi MARA (Perak) ke martabat universiti bertaraf dunia akan menjadi kenyataan.

 

Prof. Ir. Dr. Hajah Zainab Mohamed
Rektor
Universiti Teknologi MARA (Perak)