UiTM Cawangan Perak Kampus Tapah Fasa Pertama telah mula beroperasi pada 1 Disember 2010. Bangunan kampus Fasa 1 ini hanya terdiri daripada 6 unit bangunan iaitu Bangunan Pejabat Pentadbiran dan Akademik, Kolej Kediaman Pelajar Siswa, Kolej Kediaman Pelajar Siswi, Pejabat Pentadbiran Kolej dan 2 unit Rumah Pegawai Pembangunan Pelajar. Bagi pengambilan pertama, seramai 25 orang pelajar telah ditawarkan pengajian di UiTM Cawangan Perak Kampus Tapah bagi program Diploma Sains Aktuari dan Pra Diploma (Sains) pada 26 Disember 2010.

 

Fasa Kedua mula dibina pada tahun 2011 dan siap pembinaan pada 18 Januari 2014. UiTM Cawangan Perak Kampus Tapah Fasa 2 beroperasi sepenuhnya pada 21 April 2014  dengan kemampuan menampung kapasiti 5000 pelajar dan 2500 penginapan pelajar. Kemudahan lain merangkumi Kompleks Pentadbiran, Blok Fakulti, Perpustakaan, Pusat Pelajar, Pusat Islam, Bangunan Kafeteria, Unit Kesihatan, Kolej Kediaman, serta banyak lagi kemudahan bertaraf moden khusus bagi kemudahan dan keselesaan para pelajar. Kini UiTM Cawangan Perak Kampus Tapah menawarkan 7 program utama merangkumi Fakulti Sains Komputer & Matematik, Fakulti Perakaunan dan Fakulti Sains Gunaan.